:: mencari sinar ::

Memali- Menyelongkar Sejarah Kampung

BUAT DIRIKU YANG SERING ALPA

BUAT TEMAN-TEMANKU YANG LEKA

BUAT PARA PEJUANG YANG TAK KENAL PUTUS ASA



AGAR KITA DIKURNIAKAN HIDAYAH ALLAH

AGAR KITA BANGKIT DENGAN MATA YANG CELIK

AGAR KITA SEDAR NASIB UMMAH INI



KERANA KITA ADALAH SATU

KERANA KITA UMMAT ISLAM

KERANA KITA PEJUANG ISLAM



DEMI MENUNTUT REDHA ILAHI

DEMI MENJADI HAMBA YANG BERSYUKUR

DEMI MENUNAIKAN AMANAH KITA



BACA – HAYATI – BERTINDAKLAH !



MEMALI
19 NOVEMBER 1985


Jam 1935 Bertempat di Kem Pasukan Polis Hutan ( PPH ) Sungai Petani , Kedah ; seramai 3600 kekuatan pasukan polis dari pelbagai bahagian termasuk Unit Simpanan Persekutuan ( FRU ) Pulau Pinang , dari Senoi Prak dan Komando 69 telah bersiap sedia menurut arahan . Kebanyakan mereka bukan beragama Islam .

Seorang Pegawai Tinggi dari Bukit Aman , Dato’ Yahya Yeop telah mengetuai Ops Hapus ini dengan bantuan beberapa orang pegawai dari Pulau Pinang , Kedah dan Perlis .

Jam 1945 Dato’ Razali Yeop mengeluarkan arahan iaitu :-

Menyerang hendap satu kem komunis dalam daerah Baling yang terletak berhampiran sempadan Thailand .

Jam 2005 Berlaku kekecohan di antara para pegawai di Kem Sungai Petani dengan pegawai dari Bukit Aman di bilik operasi Sg. Petani .Kekecohan ini disebabkan perasaan tidak puas hati para pegawai di Kem Sg. Petani terhadap arahan tersebut kerana sepanjang pengetahuan mereka tidak wujud sebarang kem komunis di daerah Baling . Jika benar kem itu wujud , sudah tentu mereka , PPH akan lebih dahulu mengetahuinya .

Namun menurut mereka arahan itu adalah palsu kerana tempat sasaran mereka itu adalah kepada Ustaz Ibrahim Libya dan madrasahnya , tempat beliau menyampaikan kuliyyah setiap malam.

Malah Pegawai PPH Kem Sg. Petani itu turut menjelaskan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud adalah seorang tokoh ulamak yang disegani . Ramai di kalangan anggota PPH Sg. Petani turut mengikuti pengajian agama bersama beliau .


Akibatnya , sedikit kekecohan telah berlaku di Bukit Aman kerana beberapa kali Penolong Pesuruhjaya Polis Bukit Aman gagal dihubungi . Beberapa panggilan lain dibuat . Akhirnya , pihak di Sg. Petani telah berjaya disambungkan dengan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ketika itu , Dato’ Musa Hitam yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri . Mereka menyatakan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ulamak yang disegani dan telah banyak berjasa dalam menaikkan taraf hidup masyarakat


Namun TPM menegaskan supaya Ops Hapus ( beliau sendiri yang menamakannya sedemikian ) tetap diteruskan .


Jam 2045 Satu majlis keraian telah diadakan di dataran terbuka Kem PPH . Minuman keras telah sengaja dihidangkan kepada para anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi . Namun ada sebahagian daripada anggota PPH tidak menyentuh minuman tersebut .


Jam 2147 Dato’ Razali Yeop selaku Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah menerima mesej daripada wayarles menyatakan 10 perisik PPH telah berjaya memasuki kawasan Memali dan seterusnya memberikan laporan keadaan di sana.Semua unit kemudiannya telah bergerak di bawah pimpinan 8 pegawai muda memasuki Baling dengan iringan 2 buah kereta perisai. Ketika ini PPH Sg. Petani telah mula tidak berminat untuk menyertai Ops Hapus ini.

Ketika itu Ustaz Ibrahim sedang menyampaikan kuliyyah seperti biasa untuk lebih kurang 50 orang yang mengikuti pengajiannya . Kuliyyah itu berlanjutan sehingga pukul 11.45 malam . Ada yang pulang ke rumah dan ada juga yang bermalam di madrasah .


Jam 0000 Arahan terakhir telah diterima . Namun PPH Sg. Petani mencadangakan agar hanya sekatan sahaja yang dilakukan agar Ustaz Ibrahim Mahmud dan pengikutnya berpeluang menyerah diri . Mereka menganggarkan bahawa kepungan itu akan mengambil masa paling lama 3 bulan .


Cadangan tersebut dibantah oleh para pegawai dari Bukit Aman dengan sokongan OCPD Baling . Mereka menganggap strategi itu akan melibatkan pihak polis dan anggota tentera yang bertugas di Sik dan Baling , sempadan Malaysia – Thailand .

Sekali lagi kekecohan berlaku kerana 90% anggota tentera di situ menyokong gerakan Islam dan arahan Ops Hapus ini kembali dipertikaikan . TPM cuba dihubungi ketika ini namun gagal kerana beliau telah menuju ke sebuah hotel di Kuala Lumpur . Ketika itu juga , Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri , Dato’ Radzi Ahmad sedang mengikuti perkembangan Ops Hapus dari Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.


Kemudian , TPM telah menghubungi mereka dengan suara yang marah dan agak terganggu beliau telah berkata :-

Teruskan Ops Hapus walaupun terpaksa menyerang seluruh negeri Kedah !


Pada waktu yang sama , seorang pemuda telah memberhentikan motosikalnya di hadapan pagar rumah Ustaz Ibrahim . Setelah diizinkan , dia masuk ke rumah Ustaz Ibrahim dan memaklumkan bahawa sewaktu dia tiba di pekan Baling dia telah melihat sekumpulan polis yang terlalu ramai di sana .

Lalu Ustaz Ibrahim dikejutkan dan begitu juga dengan 39 muridnya yang tidur di madrasah telah diarahkan oleh Ustaz Ibrahim untuk bersiap sedia mempertahankan diri . Mereka mula mengumpulkan senjata seperti kapak ,parang , buluh runcing , pisau dan yang lebih berani lagi telah membuat molotov cocktail . Ustaz ibrahim juga menegaskan ketika itu bahawa beliau tidak akan menyerah kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ).


Ustaz Ibrahim kemudiannya mengarahkan pengikut-pengikutnya berwudhu’ di sebuah telaga yang berhampiran dan seterusnya menunaikan solat sunat , solat hajat dan membaca Yasiin . Setelah itu beliau menyampaikan ucapan yang menyatakan :

Beliau lebih rela mati syahid daripada menyerah diri dan tunduk kepada ISA yang menahan orang tanpa memberi peluang kepada mereka untuk dibicarakan di mahkamah malah menjadi alat kepada mereka yang ingin menaikkan semangat nasionalisme . Sekiranya perintah tahanannya di bawah akta lain , beliau akan keluar menyerah . Tapi mestilah dibicarakan di mahkamah .

Dia berkata lagi kepada pengikutnya , sesiapa yang ragu-ragu boleh keluar dari kawasan itu namun kesemua yang ada pada malam itu langsung tidak beralih dari tempat mereka .

Laungan takbir bergema dan memecah keheningan malam itu .Ketika itu pula di IPD Baling , segala persiapan serangan ke atas Kampung Memali semakin rancak dilakukan terutamanya oleh anggota –anggota polis yang telah mabuk dan hilang fikirannya .


19 November 1985


Jam 0100 3600 anggota polis dari pelbagai unit telah tiba di Memali dengan senjata automatik dan diiringi 2 buah kereta perisai mula mengepung Kg. Memali .

Ketika itu , TPM masih lagi di hotel kerana dia tidak dapat dihubungi . Segala urusan komunikasi dijalankan dengan timbalannya yang berada di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang .

Kebanyakan anggota polis beranggapan bahawa mereka akan menyerang sebuah Kem Komunis – sebagaimana yang telah diberitahu oleh Dato’ Razali Yeop kepada mereka . Manakala pasukan polis dari Sg Petani kecil bilangannya dan masih lagi samar dengan tugasan mereka .


Jam 0300 Kampung Memali telah dikepung seluruhnya oleh pihak polis dan semua jalan keluar masuk telah ditutup . PPh Sg Petani telah diarahkan untuk mengepung bahagian Selatan manakala FRU dan Special Branch ( SB ) telah mengepung bahagian Utara dan Komando 69 pula telah mengepung sebelah belakang rumah Ustaz Ibrahim yang juga merupakan sekolah agamanya .

Jam 0336 Dato’ Yahya Yeop telah bercakap melalui megafon dan meminta supaya Ustaz Ibrahim menyerah diri . Ustaz Ibrahim berbincang dengan murid-muridnya lalu mereka semua bersepakat untuk tidak akan keluar menyerah diri . Kesemuanya telah siap-sedia untuk mati syahid dan mereka bertakbir sekali lagi .


Jam 0400 Sekumpulan orang kampung termasuk wanita telah muncul dari arah utara . Mereka telah meredah benteng pertahanan anggota polis dan membawa bersama peralatan yang sering mereka gunakan untuk bertani sebagai senjata . Mereka ingin memasuki rumah Ustaz Ibrahim Mahmud untuk memberikan sokongan .


Ketika itu , komando 69 yang masih mabuk telah melepaskan tembakan secara rambang ke arah mereka . Namun sasarannya tersalah lalu mengenai seorang pegawai kanan , seorang pegawai rendah dan seorang konstabel PPH . Manakala orang-orang kampung tadi telah berpatah balik kerana ketakutan .


Satu perundingan tergempar antara pegawai-pegawai Ops Hapus diadakan untuk meredakan ketegangan sesama mereka sendiri akibat tembakan tersebut . Arahan mengepung rumah Ustaz Ibrahim itu masih lagi berkuat kuasa namun pegawai dari IPD Alor Setar mahu menarik balik anggotanya dari Ops Hapus tersebut dan mahu supaya kepungan dibatalkan . Mereka telah mengambil iktibar dari kemalangan yang menimpa rakan-rakan mereka tadi .


Dato’ Yahya Yeop telah menolak permintaan IPD Alor Setar dan mengarahkan agar kepungan diteruskan .


Jam 0521 Azan Subuh berkumandang dari rumah Ustaz Ibrahim . Laungan azan itu menjentik hati para anggota polis dari Alor Setar . Mereka semakin tawar hati malah mencurigai tujuan sebenar Ops Hapus ini .

Suara bacaan Ustaz Ibrahim yang mengimami Solat Subuh itu semakin sayu . Tiba-tiba seorang pegawai berbangsa India dari Bukit Aman mengarahkan agar serangan dimulakan ketika itu namun arahannya ditentang oleh pegawai-pegawai bawahannya yang beragama Islam .


Jam 0559 Solat Subuh selesai . Sekumpulan orang kampung muncul lagi lalu menyerbu masuk ke kawasan rumah Ustaz Ibrahim sambil melaungkan takbir dan menggenggam senjata kampung .


Melihatkan reaksi itu maka Pegawai PPH mengarahkan anggotanya berundur dan membiarkan orang kampung . Mereka PPH hanya diarahkan untuk bertahan dan bersiap sedia . Keadaan semakin cerah dan ini semakin mendedahkan kejijikan perancangnya . Ini dikukuhkan lagi dengan beberapa siri penangkapan pemimpin-pemimpin Islam sebelum Ops Hapus ini .


Jam 0815 Setelah mendapat kelulusan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri maka Dato’ Yahya Yeop sebagai Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah mengarahkan 2 buah kereta perisai mula menyerang rumah Ustaz Ibrahim Mahmud . Mereka kemudiannya dihalang oleh pengikut-pengikut Ustaz Ibrahim dengan lontaran molotov cocktail .


Pasukan polis memberikan respon berundur terhadap lontaran tersebut sambil memuntahkan peluru dari senjata automatik . Pada waktu yang sama , 4 wanita dan 3 kanak-kanak telah berlari keluar dari rumah setelah diarahkan oleh Ustaz Ibrahim . Mereka kemudiannya telah dikepung dan ditangkap lalu dihumban ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing .

Tembakan daripada pihak polis masih lagi berterusan dan mereka sambutnya dengan laungan takbir .


Jam 1105 Komando 69 diarahkan untuk menyerang rumah Ustaz Ibrahim Mahmud . Pasukan polis mula melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah rumah Ustaz Ibrahim . Mereka menghadapinya dengan kain basah atau membasuh muka malah ada juga yang menutup dengan guni basah . Selain itu ada juga yang mengunyah daun-daun kayu setelah membaca sesuatu .


Mereka berjaya menghadapi serangan gas pemedih mata itu yang berlangsung selama beberapa minit melainkan beberapa kanak-kanak. Salah seorang kanak-kanak itu telah pengsan dan mulutnya berbuih-buih . Cikgu Syafie Ali , salah seorang pengikut Ustaz Ibrahim marah melihatkan situasi kanak-kanak itu lalu dengan parang yang terhunus beliau telah pergi untuk menyerang polis .

Namun beliau telah dihujani dengan peluru dan terus ditembak ketika beliau berusaha untuk bangun akibat jatuh setelah ditembak . Maka gugurlah beliau sebagai Syuhada’ pertama Memali .

Serangan gas telah reda . Kemudian kedengaran lagi suara dari Dato’ Yahya Yeop dari megafon dan kali ini meminta supaya pihak yang dikepung menghantar wakil untuk berbincang . Ketika itu , salah seorang anak murid Ustaz Ibrahim ; Mat Piah Yunus yang lebih dikenali sebagai Pak Teh telah berjumpa dengan Ustaz Ibrahim dan meminta penjelasan berhubung permintaan Dato’ Yahya Yeop .


Ustaz Ibrahim menyatakan bahawa pintu rundingan pada hari itu telah tertutup dan beliau tidak akan berunding apa-apa pun dan tidak akan menyerahkan diri . Memandangkan kepada ketegasan Ustaz Ibrahim serta murid-murid yang lain maka Pak Teh telah membuat keputusan sendiri sambil bertawakkal kepada Allah . Pak Teh tampil berjumpa Dato’ Yahya Yeop yang berdiri di samping kereta perisai manakala dia sendiri berdiri di sebalik pagar rumah Ustaz Ibrahim .


Pak Teh mempersoalkan tanpa rasa gerun kenapa perlukan perbincangan sedangkan orang kampung sudah ada yang syahid ditembak pihak polis . Dato’ Yahya Yeop terdiam seketika namun kemudiannya menjawab bahawa mereka ingin menangkap 4 orang penjenayah yang berada di situ . Lantas Pak Teh mempelawa beliau untuk masuk sendiri ke rumah Ustaz Ibrahim dan melihat apakah 4 penjenayah itu berada di situ .

Dato’ Yahya Yeop kelihatan tidak berminat dan sedang memikirkan sesuatu setelah mengetahui Ustaz Ibrahim tidak mahu menyerah diri . Setelah berulang-alik antara Ustaz Ibrahim dan Dato’ Yahya akhirnya Pak Teh masuk semula . Namun semasa melewati kumpulan Muslimat dan kanak-kanak yang berada di pagar , beliau sempat mengarahkan mereka untuk berlindung di belakang rumah .


Ketika itu , beliau ternampak ada anggota polis yang ingin menembak Pak Suman dan tanpa berlengah beliau segera menyerbu ke arah polis tersebut dengan parang yang terhunus .


Parangnya sempat singgah kepada salah seorang daripada polis itu namun kemudian beliau dihujani dengan tembakan yang bertalu-talu dan disambut dengan laungan takbir .

Pak Teh terlantar setelah ditembak sebanyak 14 das tembakan dari M-16 . Setelah Ops Hapus , beliau terlantar di Hospital Sg. Petani dengan keadaan bergari . Kemudiannya , beliau dihantar ke Kem Kemunting sebagai tahanan ISA .

Jam 1136 Komando 69 menyerbu masuk sambil memuntahkan peluru . Berlaku beberapa pergelutan dengan Ustaz Ibrahim dan beberapa orang yang masih lagi bertenaga . Ada juga ahli rumah yang keluar untuk berlawan dengan Komando 69 di halaman rumah . Polis terus menembak mereka mereka walaupun mereka tidak bersenjata .


Ketika serangan yang menggila daripada pihak polis itu dalam tempoh ½ jam , hujan mulai turun renyai-renyai dan terus lebat sebaik sahaja serangan tersebut tamat . Hanya laungan takbir yang terus mereka laungkan sehingga nyawa mereka telah tiada . Ramai yang mati dan ada juga yang cedera teruk .


Beberapa anggota komando telah menyerang Ustaz Ibrahim dan beliau melawan sehingga menyebabkan salah seorang dari mereka terbunuh . Akhirnya beliau syahid apabila badannya ditembusi muntahan peluru dari senjata automatik .

Ustaz Ibrahim gugur dengan dengan tangan yang tergenggam ke atas dan mulutnya masih lagi melaungkan Allahu Akbar !

Seorang pegawai polis telah meluru ke arah Ustaz Ibrahim yang rebah dan memangkunya . Ketika itu juga isteri Ustaz Ibrahim datang . Di saat itu mereka mendengar Ustaz Ibrahim berkata :

Alhamdulillah ! Kerana telah mengorbankan kami ke jalan mati syahid .

Jam 1213 Serangan telah ditamatkan . Semua yang ditangkap telah ditutup kepala mereka dengan karung guni . Beberapa anggota komando kelihatan menendang tubuh-tubuh yang terkujur untuk memastikan sama ada mereka telah mati atau tidak . Ada pula yang masih menembak mereka yang terkujur itu sambil mencemuh :

Pergi jahanam dengan Islam !

Jam 1305 Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah membuat laporan rasmi kepada Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang dan kepada TPM di Kuala Lumpur . TPM mengarahkan agar semua penduduk Kg. Memali ditangkap agar rahsia Ops Hapus tidak terdedah.

Jam 1500 Penangkapan penduduk kampung diteruskan dan dibawa dengan 2 buah helikopter polis . Mangsa yang terkorban di kalangan orang kampung termasuk Ustaz Ibrahim dan anggota polis di bawa ke Hospital Sg. Petani dan Alor Setar .

Jam 1510 Sekitar 30 anggota tentera lengkap bersenjata dari Regimen Askar Melayu Di-Raja ( RAMD ) tiba di hadapan rumah Ustaz Ibrahim Mahmud .

Berlaku pertelagahan antara anggota polis dengan ketua pasukan tentera itu yang berpangkat Kapten . Mereka menyuruh agar anggota polis yang ramai itu bersiap-sedia untuk menghadapi kemungkinan bertempur dengan pihak tentera .


Menyedari bilangan mereka sedikit maka pihak tentera telah mengambil keputusan untuk meredakan ketegangan itu . Lantas Kapten itu berkata :

Hari ini hari kamu ! Kamu boleh lakukan apa yang kamu mahu . Tapi ingat , akan tiba satu hari nanti kami akan menentang kamu dengan kekuatan yang setara !

Tidak lama selepas Tragedi Memali ini , soal-siasat secara besar-besaran telah dijalankan ke atas semua anggota tentera dan polis. Kebanyakan yang dipanggil adalah mereka yang cenderung kepada gerakan Islam iaitu Parti Islam Se-Malaysia ( PAS ) .

Mereka juga mendapat tahu akan kewujudan pembekuan kenaikan pangkat terhadap mereka . Lalu ramai yang meletakkan jawatan .

UNTUK PENGETAHUAN ANDA SEMUA !!!

KES MEMALI TIDAK PERNAH DIBICARAKAN WALAU SEMINIT PUN DI MAHKAMAH AKAN TETAPI BERTERUSAN DITANGGUHKAN SAHAJA !

BARISAN NASIONAL JUGA MELANGGAR PERINTAH MAHKAMAH DENGAR MENYIARKAN KLIP PALSU MEMALI DI MEDIA UNTUK MEMBURUK-BURUKKAN PAS !


SIAPAKAH IBRAHIM LIBYA ?


Ustaz Ibrahim Libya merupakan tokoh utama rakyat negara ini dalam penentangan terhadap ISA . Nama sebenarnya ialah Ustaz Ibrahim b. Mahmood b. Hanafi b. Saman . Ibunya bernama Sofiah bt Cik Nik b. Mohd Hassan . Dilahirkan di Kampung Charok Putih , Mukim Siong , Baling Kedah pada pada tanggal 1 Julai 1942 . Beliau adalah anak kedua dari lima orang adik beradik .

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu Weng , Baling ketika berusia 7 tahun . Pengajiannya di sekolah berkenaan terbahagi kepada dua sesi iaitu pada waktu pagi sesi pengajian akademik biasa dan pada waktu petang sesi pengajian agama Islam . Pada sebelah malamnya beliau belajar al-Qur’an dan berguru daripada Ustaz Haji Abdul Ghani. Beliau juga agak aktif dalam kegiatan sukan bola sepak dan sepak takraw di sekolah . Beliau memang dikenali sebagai seorang pelajar yang tekun dan suka membaca di samping berjimat-cermat dalam perbelanjaan .

Ustaz Ibrahim Libya meneruskan pengajian menengahnya di Sekolah Agama ( Pondok ) di Charok Putih iaitu Madrasah Ittifaqiah . Selama 3 tahun di sekolah ini beliau telah dididik dengan ilmu tauhid , tafsir , hadith , feqah dan sejarah Islam . Setelah itu beliau menyambung pengajiannya di Madrasah Khairiah , Pokok Sena yang juga dikenali sebagai Pondok Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin .Selama 8 tahun di madrasah ini , beliau mendalami lagi ilmu-ilmu agama seperti Usul Feqh , Tasawuf , Mantiq dan pelbagai ilmu lagi yang menyentuh tentang syariat Islam .

Bakatnya dalam pidato dan syarahan terserlah di sini dengan menyertai beberapa pertandingan termasuklah pertandingan perbahasan ,syarahan dan mentafsir al-Qur’an . Beliau juga mulai aktif dalam sukan seperti sepak takraw dan badminton . Walaupun beliau bertubuh kecil namun kebolehan dan bakatnya telah melonjakkan beliau sehingga menjadi Ketua Pelajar di Madrasah ini . Beliau juga digelar Osman Walad kerana bentuk tubuh yang lebih kecil berbanding rakan-rakannya yang lain . Setelah tamat pengajian di Madrasah ini belai telah menyambung pengajian di Nilam Puri , Kota Bharu , Kelantan pada tahun 1966 dan berjaya menamatkan pengajiannya malah turut melepasi peperiksaan asy-Syahadah al-‘Aliah .



Setelah itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum , Deoband , Saharanpur , Uttar Pradass di India pada tahun 1968 . Di sini beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam pengkhususan ilmu hadith . Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar , Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Syariah . Kemudian beliau telah menyambung pengajiannya di Ma’ahad Dakwah , Tripoli , Libya dan memperolehi Ijazah Dakwah Tertinggi dalam masa 1 tahun . Setelah belajar di sini , beliau mendapat gelaran Ibrahim Libya dari teman-teman dan gelaran itu berpanjangan sehinggalah Ustaz Ibrahim Libya kembali ke Malaysia .

Setelah 7 tahun merantau di luar negara , akhirnya beliau telah kembali ke Malaysia dan ditawarkan berkhidmat di Pusat Islam Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai Pegawai Dakwah . Beliau bertugas di bawah seliaan Ustaz Ahmad Awang . Setelah 3 tahun berkhidmat beliau telah meletakkan jawatan dan kembali berbakti kepada masyarakat kampungnya . Ini kerana beliau ingin memenuhi permintaan gurunya Lebai Yaakob , Charok Putih yang mahu beliau membantunya menjadi pendidik di samping beliau sendiri merasai tidak bebas berdakwah di dalam jawatan kerajaan tersebut .

Setelah kembali ke kampung , beliau aktif berceramah di seluruh negara dan membantu gurunya mengajar agama . Beliau juga telah membuka madrasah sendiri yang dinamakan Madrasah Islamiah Diniah di Kampung Memali . Pada masa yang sama , beliau mulai aktif dalam PAS dan memegang beberapa jawatan penting di peringkat kawasan , daerah dan negeri malah pernah diamanahkan sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah . Beliau juga pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 dan 1982 di DUN Bayu . Ustaz Ibrahim Libya telah tewas dengan majoriti 300 undi . Keaktifan dan semangat beliau untuk berdakwah menjadi ancaman kuat kepada penyokong-penyokong kerajaan dan ahli-ahli UMNO sehingga beliau difitnah dengan pelbagai tohmahan .


Kemuncaknya beliau telah difitnah sebagai pengganas dan melatih anak-anak murid untuk melakukan pemberontakan bersenjata serta menghasut orang ramai menentang kerajaan secara terbuka . Tuduhan yang dilemparkan kepada beliau belum dibuktikan melalui undang-undang negara yang sedia ada namun beliau telah dianggap sebagai seorang penjenayah besar . Ustaz Ibrahim Libya cuba untuk ditahan di bawah ISA pada 1984 namun gagal ekoran beliau telah dipertahankan oleh pengikut-pengikutnya dan sekali lagi percubaan untuk menangkapnya dilakukan pada tahun 1985 . Pihak keselamatan telah mengarahkan sejumlah besar pasukan polis termasuk unit Polis Hutan membuat kepungan bukan sahaja di sekitar madrasah bahkan di seluruh Kampung Memali . Pihak polis telah membuat sekatan jalan raya dan meminta asy-Syahid Ibrahim Libya untuk menyerah diri namun beliau tetap teguh dengan pendiriannya untuk tidak menyerah diri kepada pemimpin yang zalim .


Akhirnya , pihak polis telah merempuh masuk ke dalam kawasan madrasah beliau dengan sebuah kereta perisai Polis . Beliau telah ditembak dengan kejamnya dan syahid bersama 13 orang pengikutnya yang lain . Peristiwa berdarah ini lebih dikenali sebagai ‘ Tragedi Memali ’ dan tarikh 19 November 1985 pasti tidak akan dilupakan oleh mana-mana pendokong gerakan Islam di Malaysia . Berikutan tragedi ini , PAS telah diasak , ditohmah , dikekang dengan pelbagai cara termasuk dengan mengaitkan peristiwa ini dengan Amanat Hj. Hadi seorang pemikir Islam yang paling berpengaruh dalam PAS ketika itu .Ceramah-ceramah PAS telah diharamkan di beberapa buah negeri seperti Kelantan , Terengganu , Kedah serta Perlis . Kesannya cukup ampuh apabila PAS hanaya memenangi satu kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum tahun 1986 iaitu di kawasan tradisinya , Pengkalan Chepa .

KRONOLOGI TANGKAPAN ISA


Demonstrasi Padi di Kedah 1980

Tunjuk perasaan atau demonstrasi di hadapan Wisma Negeri di Alor Setar adalah untuk menuntut kenaikan harga padi . Tunjuk perasaan itu tidak secara langsung mempunyai kaitan dengan PAS tetapi kebetulan pemimpin-pemimpin negeri ( PAS Kedah ) terlibat sebagai petani dan menyertainya .[1]

Dalam tunjuk perasaan ini pada 23 Januari 1980 , pihak keselamatan telah menahan 14 pemimpin PAS dalam ISA termasuk 3 pimpinan PAS Kedah .[2] Mereka ialah Othman Hj. Marzuki , Solahuddin Mansor dan Halim Arshad .

Tangkapan Pemuda 1984

Tahun 1984 menyaksikan kebangkitan PAS di kalangan generasi muda . Ketika ini kerajaan menangkap beberapa tenaga penggerak PAS di bawah ISA dan mengaharamkan ceramah PAS di Kelantan ,Terengganu , Kedah dan Perlis .[3]Di antara pemimpin pemuda PAS yang ditahan bawah seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki mengakibatkan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu[4] adalah Hj. Abu Bakar Chik , Mohammad b. Sabu , Bunyamin Yaakob ditahan pada 10 Julai 1984 dan dikenakan perintah tahanan pada 08 September 1984 .[5]

Isu kafir-mengkafir yang hangat di Besut tahun itu menyebabkan 2 pemimpin PAS Besut ditahan di bawah Enakmen Kediaman Terhad , Seksyen 2 iaitu Ustaz Abdul Latif Mohammad yang dibuang negeri ke Sitiawan , Perak dan Ustaz Mohammad b. Jusoh yang telah dibuang negeri ke Kampar , Perak . Pihak polis juga bertindak menangkap pemimpin Pemuda PAS di Kedah iaitu Ustaz Ibrahim Mahmood di bawah ISA . Menurut Kertas Putih Kerajaan Malaysia 1988 ( Memali ) :

“ Polis telah bertindak untuk menangkap dan menahan Ibrahim b. Mahmood di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 pada jam 1.00 pagi , 2 September 1984 , di rumahnya di kampung Memali . Usaha tersebut telah dihalang oleh lebih 100 pengikut Ibrahim Mahmood . Mereka keluar secara mengejut dari setiap penjuru rumah tersebut dengan bersenjatakan buluh runcing sambil melaungkan ‘ Allahu Akbar ’ . Ibrahim Mahmood pada masa itu berada dalam rumahnya , terus mengurung diri dan enggan keluar apabila diminta menyerah diri . Suasana ketika itu sungguh tegang dan dengan mengambil kira keselamatan orang awam dan bagi mengelak kekacauan serta kemungkinan pertumpahan darah , pihak polis membuat keputusan menangguhkan penangkapan Ibrahim Mahmood buat sementara waktu ”.[6]

Seorang pemimpin pemuda PAS berkata selepas dari tragedi itu Ustaz Ibrahim Mahmood dikawal ketat oleh pengawalnya[7] sehinggalah kepada Tragedi Memali di mana pihak keselamatan bersungguh-sungguh menangkap beliau sehingga menyebabkan kematian 18 orang di pihak Ustaz Ibrahim dan anggota polis .

Tragedi Memali 1985

Tragedi yang berlaku pada 19 November 1985 ini merupakan kemuncak manifestasi penentangan ahli PAS terhadap ISA . Penggerak utama peristiwa ini adalah Ustaz Ibrahim Mahmood yang dikenali sebagai Ibrahim Libya . Beliau merupakan bekas pendakwah di Pusat Islam yang meletakkan jawatannya untuk berkhidmat dan memberikan kefahaman Islam kepada penduduk kampungnya di Memali yang rata-rata agak rendah kefahaman dan pengetahuan Islam .[8]

Usaha kemuncak menangkap beliau adalah pada 19 November 1985 selepas kegagalan penangkapannya pada 2 September 1984 . Menurut Kertas Tahanan 21 Memali :

“.... gerakan tersebut ialah untuk menangkap Ibrahim b Mahmood dan dua orang lain di bawah AKDN,tiga orang telah dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka serta 32 orang pengikut disyaki terlibat dalam pergerakan jenayah yang berselindung di rumah Ibrahim Mahmood ...”[9]


Menurut sumber Kertas Putih yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri seramai 576 anggota polis telah digunakan dalam operasi tersebut[10] manakala dari sumber penduduk kampung seramai 3600 orang anggota polis yang terlibat . [11] Operasi penangkapan ini berakhir dengan satu tragedi yang menyayat hati malah menarik perhatian antarabangsa .[12] Tragedi ini telah mengorbankan Ustaz Ibrahim bersama 13 lagi pengikutnya dan 4 anggota polis .[13] Media massa pula menonjolkan seolah-olah berlaku pertempuran yang dahsyat antara pihak keselamatan dan pejuang Islam negara ini . Ada laporan akhbar yang menyifatkan tragedi ini seakan sama dengan tragedi yang menimpa di Talang Sari , Indonesia .

Suasana agak tegang dan seluruh media massa meng’kambing-hitam’kan PAS dan pimpinannya malah mengatakan amanat Hj. Hadi yang mendominasi pemikiran para pengikutnya .[14] Malah Ustaz Ibrahim telah digambarkan sebagai penjenayah negara dan dituduh membawa ajaran sesat .[15] Di antara mereka yang terkorban dalam tragedi ini adalah Ibrahim Mahmood , Ahmad Hassan , Syafie Dahaman , Abdullah Saman , Radzki @ Zakaria Ahmad , Hambali Mohammad Senang , Idris A. Kadir , Mohd Aroff Hasyim , Zamri Mohd. Isa , Abdullah Yassin , Mohd Daud Kadir dan Ahmad Ismail .[16]


Manakala anggota polis yang terbunuh ialah Insp. Azmi Hamzah , Sarjan Abd Rahman Mat Noor , Konstabel Jaafar Sain dan Konstabel Mohd Suli Osman .[17] Pihak polis telah menahan seramai 110 orang penyokong Ustaz Ibrahim dalam penjara dan 36 orang di bawah ISA malah ditempatkan di Kem Kemunting , Taiping mulai 22 Januari 1986 dan mereka adalah :

Razali Abdul Kadir , Abd Rahman Salleh , Hussain Yahya , Osman Salleh , Ishak Che Noh , Che Mid Che Teh , Shaari Ahmad , Elias Mahmood , Khatib Ibrahim , Tajudin Osman , Ahmad Kadir , Abd Hamid Omar , Zulkifli Ishak , Sobiri Hassan , Ramli Salleh , Zakaria Jusoh , Manas Abdullah , Sahimi Hussain , Zaman Mahmod , Abd Rahim Awang Boh , Ishak Che Him , Azmi Jusuh , Abd Raof Ismail , Abd Rahim Husin , Abas Ibrahim , Md. Piah Abdullah , Ramli Che Mid , Abdullah Che Soh , Ahamd Ayub , Mat Hassan Salim , Zakaria Abd Rahman , Jaafar Nayan , Mansur Othman , Azmi Salim , Md Piah Yunus dan Mahmod Yusuf Hussain[18] .

Dalam siasatan awal , pihak polis meletakkan mangsa Memali di beberapa buah balai polis yang berasingan di seluruh Kedah manakala di Kemunting , saudara Yusof Hussain ( orang kanan Ustaz Ibrahim Libya ) diletakkan berasingan dengan 35 tahanan yang lain.[19]Tekanan dan kritikan telah diberikan kepada pihak kerajaan dalam menangani Operasi Memali ini dan penahanan mereka di bawah ISA . Akhirnya Menteri Dalam Negeri membebaskan 36 tahanan ISA ini pada Selasa , 3 Jun 1986 setelah 4 bulan di’rehat’kan di Kemunting .

Operasi Lalang

Operasi Lalang adalah kod yang digunakan untuk menahan 106 individu yang didakwa mengancam keselamatan negara pada Oktober 1987 di bawah ISA .[20] Dalam operasi ini seramai 15 pimpinan PAS telah ditahan . Keadaan negara hampir menjadi seperti Tragedi 13 Mei 1969 berpunca apabila Kmenterian Pendidikan melantik guru yang tidak berpendidikan Mandarin menjawat Jawatan Kanan di SRJK ( Cina ) dan ketika ini MCA , DAP serta 15 persatuan Cina yang lain menentang langkah kerajaan .

Seterusnya semakin tegang ekoran tunjuk perasaan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur pada 17.10.1987 malah mereka turut merancang untuk mengadakan perhimpuna umat Melayu seramai 500,000 untuk merayakan ulang tahun 41 tahun UMNO namun dibatalkan untuk mengelakkan ketegangan kaum . Maka Operasi ini dijalankan dengan menjustifikasikan penangkapan ahli-ahli PAS di bawah ISA dengan isu Kristianisasi , Jundullah dan lain-lain isu yang menyentuh persoalan umat Islam . Di samping itu PAS juga dituduh menubuhkan Jundullah keanggotaannya bukan sahaja dari Kelantan berikutan ketegangan kaum ini . Kertas Putih Kerajaan 1988 turut menyatakan bahawa mereka memberi latihan keagamaan dan ketenteraan termasuk menjalani latihan dengan pihak Gerila Pembebasan Islam di Selatan Thai serta mendapat bekalan senjata api .[21]


Pihak Pas telah membantah tindakan kerajaan menangkap ahli-ahlinya dan telah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri . Penyokong PAS juga menjangkakan lebih ramai lagi pemimpin mereka akan ditahan lalu kawalan dibuat di rumah-rumah pemimpin[22] dan ada juga pemimpin PAS yang menyelamatkan diri keluar negeri .


Operasi Kenari

Operasi Kenari adalah kod pihak keselamatan bagi tangkapan ISA terhadap ahli-ahli PAS di Kedah dan Perak .Penangkapan ini dikaitkan dengan isu Muassasah Darul Ulum , Kedah . Muassasah ini adalah model pekan Islam yang mengandungi pusat pendidikan , perkampungan dan blok kedai dan merupakan perancangan PAS Pusat melalui PAS Kedah . Ia menjadi isu apabila kerajaan Kedah merampas tanah itu dan reaksi yang keras timbul dari ahli-ahli PAS . Bantahan seperti demonstrasi telah diadakan dan ribuan ahli PAS setiap hari hadir ke situ untuk menyatakan sokongan dan mengadakan kawalan .[23]

Pada 16 November 1988 terpampang di akhbar bahawa polis telah menahan 23 orang di bawah ISA di Kedah dan Perak berikutan kebakaran beberapa bangunan di kawasan berhampiran tapak pelancaran SEMARAK Negeri Kedah . Menurut Timbalan Ketua Polis Negara , Tan Sri Jaafar Abdul , polis telah merampas 6 pucuk pistol dan sejumlah besar peluru pelbagai jenis , 3 butir bom tangan dan beberapa alat untuk membuat jerangkap samar .[24] Kesannya menyebabkan 31 orang telah ditangkap di bawah ISA dan tiada Kertas Putih yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan memperjelaskan rasional operasi ini .[25]

Tangkapan ini membabitkan tenaga kerja PAS Kedah dan Perak yang telah menjejaskan sedikit gerak kerja PAS dan sambutan terhadap program PAS juga turut merosot .[26] Tangkapan ISA terhadap ahli PAS ini agak lama dan ada yang merengkok di sana sehingga 4 tahun lamanya dan ujian terhadap perjuangan mereka agak menekan[27] dalam tahanan tanpa bicara ini .



SOALAN UNTUK ANDA FIKIRKAN !

KERANA JAWAPAN SOALAN INI SEPATUTNYA DIJAWAB OLEH BARISAN NASIONAL YANG TIDAK AKAN SELAMA-LAMANYA MENJAWAB PERSOALAN INI

1. Perikatan boleh bersabar terhadap Komunis malah boleh duduk semeja bersama Rashid Maidin dan Ching Peng , kenapa tidak dalam Kes Memali jika mereka benar-benar Komunis ?

2. Apa perlunya 2 buah kereta perisai dan seramai 3600 anggota pasukan keselamatan sekiranya hanya untuk menangkap 4 orang penjenayah sahaja ?

3. Kenapa arahan yang diberikan kepada pelaksana Ops Hapus adalah berbeza-beza ?

4. Kenapa tugas pihak berkuasa di Sg. Petani dinafikan ?

5. Kenapa seluruh penduduk Kampung Memali ditahan sedangkan yang bersalah sudah pun mereka bunuh ?

6. Kenapa ada pasukan tentera dari RAMD yang bertelagah dengan mereka berhubung Ops Hapus ini ?

7. Kenapa pasukan keselamatan dijamu dengan minuman keras sebelum operasi itu dijalankan ?


[1] Temuramah dengan Naib Presiden PAS , Ustaz Hassan Syukri pada 25 April 1994 di rumahnya di Gombak .
[2] Kertas Putih‘ Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam & Keselamatan Negara ’,halaman 6.
[3] The Star 07.08.1984 , Berita Harian 10.08.1984
[4] Utusan Malaysia , 11.07.1984
[5] Kertas Putih 1984 ‘ Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara ’,halaman 13.
[6] Kertas Perintah 21 Tahun 1986 , “ Peristiwa Memali ” , halaman 8 .
[7] Temuramah dengan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat , Saudara Mahfuz Omar pada 25.04.1994 di Pejabat Pemuda PAS Gombak .
[8] Rakaman ceramah Yusuf Hussain ( orang kanan Ustaz Ibrahim Libya )
[9] Kertas Perintah 21 Tahun 1986 , Peristiwa Memali , halaman 8.
[10] Kertas Perintah 21 Tahun 1986 , Peristiwa Memali , halaman 8.
[11] Ceramah Ustaz Sidek Noor di Masjid ar-Rahman pada 28.10.1994 . Beliau adalah seorang naqib usrah di Memali . Juga ceramah Yusuf Hussain di Kelantan pada 16.07.1986
[12] Politics and the Divided Congregation dalam Far Eastern Economic_Review . 22.01.1987 . halaman 24-25 .
[13] C.N. Afghan , op. cit . , halaman 5
[14] Kertas Perintah 21 , op. cit. , halaman 5
[15] Utusan Malaysia , 24.11.1985
[16] C.N. Afghan , op. cit . , halaman 3
[18] C.N. Afghan , op. cit . , halaman 6-7
[19] C.N. Afghan , op. cit . , halaman 72-73
[20] Why ISA is Wrong , dalam Aliran Monthly , Januari 1989 , halaman 12
[21] ISA dan Keselamatan Negara , halaman 61
[22] Di Kampung Rusila , penyokong PAS mengawal rumah Ustaz Hj Hadi Awang secara bergilir-gilir manakala di Kampung Kubang Lembek , Manir mereka mengawasi keselamatan Ustaz Harun taib , Pesuruhjaya PAS Terengganu .
[23] C.N.Afghani , Operasi Kenari , Penerbitan Pemuda , Kuala Lumpur , 1990 , halaman 57 .
[24] Petikan Akhbar , C.N.Afghani , Operasi Kenari , Penerbitan Pemuda , Kuala Lumpur , 1990 , halaman 93-94 .
[25] Petikan Akhbar , C.N.Afghani , Operasi Kenari , Penerbitan Pemuda , Kuala Lumpur , 1990 , halaman 69 .
[26] Temuramah dengan Ustaz Azizan Desa , bekas Pesuruhjaya PAS Perak pada 23.04.1994 , Masjid ar-Rahman , Pantai Baru , Kuala Lumpur .
[27] Ceramah Ustaz Sidek Nor pada bulan Oktober 1994 , Masjid ar-Rahman , Pantai Baru , Kuala Lumpur.

Sumber : http://tintadakwah.multiply.com/

0 comments:

Post a Comment